Langgan newsletter kami!
Letih Bulan Ramadhan

5 Cara Untuk Kekal Aktif Di Bulan Ramadhan

Menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan kadang-kala membuatkan tubuh badan sesorang menjadi lemah dan tidak bermaya. Gejala ini sedikit sebanyak menjejaskan kualiti kerja atau pelajaran seseorang jika tidak di atasi dengan segera.

Sebenarnya banyak cara yang boleh anda cuba untuk kekal aktif di bulan Ramadhan. Jom semak!

1. Bangun sahur

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatannya.” – (HR Bukhari & Muslim)

Untuk kekal aktif di bulan Ramadhan, kita mestilah rajin bangun sahur. Ia juga boleh dilihat sebagai pengganti kepada bersarapan di hari-hari biasa. Dengan bersahur, anda akan lebih bersemangat dan bertenaga dalam melakukan apa jua aktiviti seharian.

2. Minum air kosong

Seperti bulan-bulan yang lain, kita juga digalakkan memperbanyakkan minum air kosong (air putih yang dimasak) ketika bersahur dan berbuka puasa.

Minumlah sekurang-kurang lapan gelas air sehari untuk badan yang sihat dan cergas. Di samping air kosong, anda juga boleh minum susu segar atau jus buah-buahan yang kaya dengan pelbagai vitamin dan nutrisi.

Kalau boleh, kurangkan pengambilan air minuman yang manis atau bergas.

3. Makan makanan seimbang

Pastikan juadah yang dimasak atau dibeli di bazar Ramadhan merupakan makanan yang seimbang dan berkhasiat. Kurangkan makanan yang berminyak atau bergoreng sebaliknya lebihkan makanan yang dibakar, dipanggang atau direbus.

Perbanyakkan juga pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran ketika berbuka puasa dan bersahur.

4. Membaca Al-Quran

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa membaca satu huruf Kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf, tetapi Alif, satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.” – (HR. Tirmidzi)

Dalam melipatgandakan amal ibadat kepada Allah SWT, kita turut digalakkan membaca dan menghafal al-Quran di bulan yang mulia ini.

Selain mendapat ganjaran pahala, membaca al-Quran juga melahirkan ketenangan di jiwa seseorang. Dengan jiwa yang tenang dan tenteram membuatkan kita lebih aktif dan sihat dalam menjalani bulan Ramadhan.

5. Bersenam

Siapa kata, kita tidak boleh bersenam di bulan Ramadhan? Kebiasaannya, aktiviti-aktiviti ringan menjadi pilihan untuk bersenam di bulan puasa.

Sebagai contoh, berjalan kaki ke bazar Ramadan. Tatkala mencari juadah kegemaran untuk berbuka puasa, kita boleh mengeluarkan sedikit peluh dengan berjalan kaki di sekitar bazar.

Buat kaki gimnasium, mereka suka ke sana apabila selesai solat Isyak atau solat Terawih untuk membakar kalori yang terkumpul selepas berbuka puasa.

Print Friendly, PDF & Email

About Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: