Langgan newsletter kami!
Neelofa Kecek Kelate

15 Sebab Kenapa Orang Kelantan Paling Unik

Sebagai anak Kelantan, tentunya anda amat bangga menjadi sebahagian daripada rakyat kelantan walaupun terlalu ramai yang telah merantau ke negeri orang. Hati dan perasaan tetap sayangkan kampung halaman tanah tumpah darah walaupun telah lama menetap di luar. Dalam percakapan harian, bahasa kelantan tidak pernah ditinggalkan biarpun boleh bertutur dalam dialek luar (tak bunyi kelate pun).

Berikut adalah 11 sebab kenapa orang kelantan sangat unik.

1. Kelantanese Use a Proper Malay Word

Tidak seperti negeri-negeri lain di Malaysia, orang Kelantan tidak merosakkan perkataan yang terdapat di dalam Bahasa Melayu standard.

Sebagai contoh:

Ulau – Melaka
Ulaq – Kedah
Ulor – Terengganu
Ular – Kelantan
dan banyak lagi..

2. Kelantanese Don’t “Cakap Kelantan”

Orang kelantan tidak cakap kelantan, mereka ‘kecek kelate’. Bahasa kelantan mungkin merupakan bahasa yang paling sukar untuk difahami di antara kebanyakan dialek/loghat yang ada di Malaysia (selepas bahasa Sarawak dan Sabah). Bahasa kelantan tidak menggunakan imbuhan di hadapan sesuatu perkataan tetapi lebih kepada menggunakan ‘sabdu’, dan ayat di dalam bahasa kelantan tidak dimatikan dihujungnya.

Contoh:

betina – tino (Ttee-nor)
berjalan – jale (Jjaa-ley)
bermain – maing (Mmaa-eng)
perbualan – buale (Bbua- ley)
pemerintahan – meritohe (Mme-ghi-toh-he)

Contoh ayat:

“Toksoh buak peghanga po kegho, tokleh napok Ttino lalu” – Tak usah buat perangai serupa kera, tak boleh nampak perempuan lalu

“Maghi kito gi Jjale ghumoh pok peng, che buleh duik Ghhayo” – Mari kita pergi berjalan rumah pak arifin, ada ‘chance’ boleh duit raya

3. Kelantanese Have Their Own Currency

Mungkin ramai yang tidak tahu tapi orang kelantan tidak menggunakan matawang RM atau Ringgit Malaysia. Mereka mempunyai matawang mereka sendiri iaitu Riyal atau sebutannya lebih berbunyi ‘ghiya’. Walaupun ‘ghiya’ kelantan tidak diniagakan di pasaran antarabangsa dan exchange rate antara ‘ghiya’ dan RM adalah sama, sebenarnya wang yang digunakan adalah sama. Tetapi Ringgit adalah lebih kecil sekiranya digunakan di kelantan.

Contoh:

Situasi seseorang menggunakan Ringgit di pasar Siti Khadijah Kota Bharu:
“Makcik, sayur ni berapa ringgit selonggok?”
“oohh, sayur kakung nih 2 ringgit selonggok”

Situasi yang sama, tetapi menggunakan ‘ghiya’
“Mokcik, sayur kakung nih brapo ghiya slonggok?”
“slonggok tigo amah*, kalu nok ambik duo longgok, 2 ghiya”

Perhatikan harga selonggok kangkung meningkat 50 sen dari harga dalam ‘ghiya’, malah dijualnya pula dengan harga 2 longgok 2 ‘ghiya’ (atau 2 ringgit)

4. Kelantanese and Budu

Orang kelantan yang tipikal, amat gemar memakan budu dan ulam. Budu merupakan lebih dari sos untuk menyedapkan makanan, aplikasi budu di dalam makanan hingga tiba ke tahap ianya dijadikan kuah bagi mereka yang berdarah kelantan tulen.

Contoh:

Saiful: “aduh nampak gaya makan nasi ngan ikan rebus jelah kita malam ni” (sambil berwajah sedih)
Shazmin: “perrgghh, ni kalau ada budu ngan limau nipis, kena pulak ulam raja..” (sambil meleleh air liur)

Jadi, kita dapat tahu dari situasi ini, Shazmin adalah orang kelantan. (pergghh.. budu ngan ulam raja, sedapnya)

5. Kelantanese are Soft

Orang kelantan adalah terkenal dengan sifat lembut mereka. Sifat sederhana dan pemalu merupakan sifat yang paling jelas. Tetapi sekiranya mereka berada di dalam kelompok yang mereka berasa selesa, mereka merupakan orang yang paling friendly dan kuat berseloka.

6. Kelantanese Doesn’t Hold to ‘Adat’ Rules

Bagi mereka yang tidak tahu, orang kelantan merupakan masyarakat yang paling mudah dibandingkan dengan masyarakat di negeri lain apabila masuk ke dalam bab adat resam dan perkahwinan. Ini adalah mereka kurang atau hampir tidak berpegang kepada sebarang adat. Tidak seperti masyarakat di Negeri Sembilan yang kuat dengan Adat Pepatih dan berbagai-bagai lagi adat di malaysia. Orang kelantan lebih kepada memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di dalam Islam.

Masyarakat kelantan tidak ada pantun (seperti minang), bayar tol (bagi orang Johor), bersanding, kenduri 3 hari 3 malam, pulut kuning dan sebagainya. Ia bergantung kepada pasangan pengantin dan keluarga sekiranya ingin mengadakan adat-adat berikut tetapi ianya adalah tidak wajib dan masyarakat kelantan kebanyakan lebih gemar kepada kesederhanaan.

Ayat yang biasa didengari adalah:

“Buak gapo buak bendo-bendo lagu tuh, Bbazir pitih”
(buat apa nak buat benda-benda macam tu, membazir duit).

Jika ada yang ingin mencari bakal isteri, bolehlah cari orang kelantan.

7. Kelantanese and Nik Aziz (Al-Fatihah..)

Orang kelantan lebih gemar dikenali sebagai anak murid Nik Aziz. Orang kelantan tidak melihat Nik Aziz sebagai menteri besar tetapi lebih kepada seorang tuan guru. Ini adalah kerana Tuan Guru Nik Aziz sendiri adalah seorang guru agama dan masyarakat kelantan menghormati beliau lebih sebagai seorang guru agama lebih daripada seorang menteri besar.

8. Moon Kite (Wau Bulan)

Wau bulan merupakan permainan traditional orang kelantan walaupun lebih kepada mereka yang tinggal di pesisiran pantai. Ini adalah kerana angin yang kuat di tepi pantai. Dahulunya ketika angin kuat mereka tidak boleh pergi menangkap ikan, jadi mereka mengisi masa lapang dengan bermain wau.

9. Wayang Kulit

Masyarakat kelantan merupakan pelopor di dalam bidang perfileman. Sebelum wujudnya Tanjong Golden Village (TGV) dan Golden Screen Cinema (GSC), masyarakat kelantan sudah lama ada Ketereh Village Cinema (KVC) dan Kedai Lalat Village Cinema. Malah wayang kulit terdapat di mana-mana kampung di kelantan. Itu juga penyebab kenapa di Kota Bharu tidak ada panggung wayang.

10. Shopping di Thailand (Golok)

Orang kelantan gemar membeli-belah di golok. Ini kerana terdapat bermacam-macam barangan boleh didapati di golok, dari baju, barangan elektrik, barangan dapur hingga ke mercun. Oleh itu orang kelantan tidak memerlukan shopping kompleks yang besar-besar seperti di negeri-negeri lain yang hanya akan menimbulkan masalah jalan raya, dan menjadi tempat muda-mudi berpeleseran. Di golok, kanak-kanak, remaja, makcik-makcik dan nenek-nenek semuanya boleh membeli belah bersama-sama.

11. Berbagai Kata Ganti Nama

Orang kelantan mempunyai berbagai kata ganti nama mengikut keadaan tertentu.

Contoh:

‘kito’ digunakan bila bercakap dengan orang yang lebih tua
‘ambo’ untuk menunjukkan humbleness
‘kawe’ dengan kenalan biasa
‘aku’ dengan kawan rapat
‘oghe’ dengan family
’sayo’ untuk formality

12. Kecek Kelate bagi Kaum-kaum di Kelantan

Kebanyakan kaum-kaum yang ada di Kelantan akan kecek kelate untuk komunikasi. Tidak kira dia dari Melayu, Cina, Siam mahupun India. Adapun, jangan hairan jika ada panggilan nama Melayu untuk kaum-kaum selain Melayu kepada mereka.

Contoh, suami kepada kawan penulis sendiri dipanggil Awe Lori (Awang Lori) dan dia adalah Cina Kelantan.

13. Sarapan Pagi

Jangan pelik dan hairan jika di Kelantan rakyatnya terus makan makanan berat iaitu nasi ketika bersarapan. Sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Kelantan untuk makan nasi sebagai sarapan pagi berbanding roti canai, roti bakar dan telur separuh masak.

Antara hidangan nasi yang popular seperti nasi berlauk (lauk ayam, daging atau ikan), nasi dagang, nasi kerabu, nasi tumpang dan lain-lain lagi.

14. Masyarakat Majmuk

Kaum-kaum di Kelantan terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Siam dan tidak lupa juga Orang Asli. Apabila membiasakan diri asal dari kaum mana, kebanyakan akan membiasakan diri dengan ‘Orang Kelate’. Tidak akan terus memanggil diri dari kaum sendiri tetapi terus kepada negeri walaupun masing-masing dari kaum Melayu, Cina, India, Siam atau lain-lain.

15. Lidah Boleh Ditukar

Apabila berada diluar negeri Kelantan, ada yang boleh berbahasa Melayu dengan betul dan juga Bahasa Inggeris mengikut standard yang biasa kita dengar. Tetapi apabila diketahui orang yang bercakap dengan mereka itu juga berasal dari Kelantan, secara automatik lidah akan bertukar untuk bercakap loghat Kelantan.

Itulah sedikit sebanyak keunikan negeri Kelantan Darul Naim yang juga dikenali sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang. Bagi yang ingin melawat, silalah berkunjung untuk merasai kelainannya.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: